Tuesday 11 September 2012

3.0 LATAR BELAKANG




3.1          SEJARAH SMK MERSING

                                                




SMK  Mersing, beralamat Km.3, Jalan Endau, Mersing dengan keluasan tapak sekolah 12 ekar, asalnya kawasan ini ditanam pokok getah. Bahagian hadapannya ialah jalan utama menuju ke Endau manakala bahagian belakangnya mengadap Laut China Selatan.

Pada awalnya iaitu pada tahun 1965, SMK Mersing ditubuhkan tetapi menumpang di Sekolah Menengah Sri Mersing (kini dikenali sebagai SMK Sri Mersing) iaitu sebuah sekolah aliran Inggeris. Hanya dua buah kelas sahaja yang ditempatkan di situ. Pada tahun itu juga, kerja pembinaan sekolah ini di tapak Kampung Siapu telah siap dan bangunan awal yang dibina ialah bangunan dua tingkat terdiri daripada enam buah bilik darjah, sebuah makmal, dua buah bilik seni perusahaan, sebuah bilik jahitan dan sebuah bilik masakan.

Pada tahun 1972 beberapa kerja pembinaan tambahan dijalankan untuk membina sebuah blok bangunan yang mengandungi tujuh buah bilik darjah dan dua buah makmal sains, kantin sekolah, sebuah padang dan pagar sekolah. Pada tahun itu juga pihak Kementerian Pelajaran telah memilih sekolah ini untuk ditempatkan beberapa orang pelajar dari negeri Sarawak di bawah program integrasi nasional bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Pada tahun 1977, sebuah bangunan perpustakaan telah siap dibina bagi menggantikan perpustakaan sedia ada. Pembinaannya dikelolakan oleh pihak PIBG melalui sumbangan orang ramai dengan menjayakan “Program Jogathon” pada tahun 1976 dan pada tahun berikutnya pembinaan telah dimulakan.

Pada tahun 1983, sekolah ini terus berkembang dengan pembinaan dua blok tambahan iaitu yang mengandungi sembilan buah bilik darjah, tiga  buah makmal sains tulen, sebuah bilik ETV dan perpustakaan. Di samping itu sebuah asrama puteri dibina serta sebuah bangunan bengkel untuk mata pelajaran seni perusahaan (kerja kayu, kerja logam dan kerja elektrik). Turut dibina ialah sebuah dewan besar.


Pada tahun 1984 pembukaan kelas tingkatan enam telah dimulakan. Pada peringkat awalnya hanya sebuah kelas aliran sastera ditubuhkan. Berikutan pertambahan pelajar dan keperluan semasa, pada tahun 1986 sebuah bangunan satu tingkat yang mengandungi empat buah bilik darjah dibina menerusi projek gotong-royong. Kemudiannya pada tahun 1989 dua buah blok tambahan dibina yang menempatkan sepuluh buah bilik darjah dan tiga buah makmal sains.









Pada tahun 1990, pembinaan sebuah surau yang menelan belanja RM 100,000 telah dibina hasil sumbangan orang perseorangan dan dinamai ‘Surau Khairunnisa’. Pembinaannya telah dikelolakan oleh Kor Jurutera dari Kem Mahkota, Kluang di bawah program “Tentera Masuk Desa”. Pada tahun 1992 sebuah bilik kebal untuk menempatkan bahan peperiksaan awam telah siap dibina.


Kemudiannya pada tahun 1999, tranformasi fizikal sekolah berterusan berikutan pembinaan dua buah blok bangunan empat tingkat yang mengandungi tujuh buah makmal sains, dua buah bengkel Kemahiran Hidup, sebuah bilik ERT, sepuluh buah bilik darjah, sebuah pejabat guru, pusat sumber dan perpustakaan.


No comments:

Post a Comment